Bahan
Ikan sepat menua digaul dengan garam kunyit dan digoreng garing
1 ulas bawang putih
2 ulas bawang merah ( boleh juga gantikan dengan 1 labu bawang besar )
2 tangkai cili hidup
10 tangkai cili padi
1 sudu besar kicap manis
1 sudu besar sos tiram ( jika anda suka )
sedikit belacan
sedikit air perahan asam jawa
Gula dan garam secukupnya
Cara
1) Bawang, cili, belacan dimesin halus
2) Ditumis dan dimasukkan sedikit air
3) Masukkan sos tiram, kicap dan air perahan asam jawa
4 ) Gula dan garam secukupnya
5) Masak hingga kuah agak pekat dan tutup, biar sejuk sebelum dimasukkan ikan.
sekiranya anda menggunakan kicap manis, anda perlu kurangkan gula.
CORETAN
Terkenang kisah zaman kanak-kanak dulu, masa duduk dengan Tok Cha dan Tok, saya ni suka sangat makan ikan darat, maklumlah dulu mana ada duit nak beli ikan laut, sumber ikan yang paling banyak ketika itu ikan daratlah, Tok Cha dengan Pak Cik memang suka sangat menjala ikan, segala ceruk kampung yang ada sungai dijalanya, saya dengan Tok menunggu dengan sabar dari pagi sampai petang sebabnya kami berdua akan menjadi mangsa menyiang ikan, tapi tak pa seronok bila Tok Cha buka saja bekas ikan, wah ikan sepat menua, lampam, sebesar tapak tangan, masih hidup dan segar, macam-macam jenis ikan darat mereka bawa pulang, paling saya suka ikan sepat menua dan ikan puyu. Tok Cha suka ikan sepat menua yang saiz comel-comel tu digoreng dengan tepung, meratah panas-panas, sedapnya. Ikan puyu dibuat masak asam pedas atau dibuat masak cabai (cili api)...fusssshhh bertambah-tambah nasi. Tok Cha juga pandai buat jala untuk dijual, pernah masa ketiadaan mereka saya mencuba jala yang ada , saya tebarkan atas rumput kononnya nak cuba menjala lepas tu saya cuba pula dalam sungai berdekatan rumah. Mula-mula itu banyak juga ikan yang saya dapat , beberapa kali tebar jala, bukan ikan saja yang dapat ular air pun terperangkap dalam jala. Apa lagi melompatlah saya, jala ke mana, ikan ke mana , orang nya lari lintang pukang, terpaksalah tunggu Tok Cha balik buang ular dari jala.. saya dengan ular ni geli sikit , selepas kejadian itu saya tak pernah menjala ikan lagi dah, pernah juga saya mengikut Tok Cha menjala ikan , saya akan bawa bekas ikan dan buang sampah-sampah pada jala, memang nostalgia tapi sekarang keadaan kampung yang dulunya dihuni puluhan dan beranika jenis ikan sudah tiada lagi, entah ke mana menghilang ikan-ikan tersebut, sungai sekarang dah bertambah elok cuma penghuninya pula tiada. Sedih...... Masa tinggal dengan Tok , tiap-tiap petang kami akan memancing dalam sawah padi berdekatan rumah...umpan cacing. Tak sampai 15 minit dah beberapa kali Tok asyik menyentap pancingnya yang dimakan ikan puyu...saya nak dapat seekor pun susah, mulalah tukar strategi, memancing bersebelahan dengan Tok dan pancing di lopak yang sama,, Tok pun beralah biarkan saja cucu mencuba nasib , sekali sentap batang pancing sampai 360 darjah, ikan yang lekat pada mata kail terpelanting ke petak sebelah , melepas ikan...terdengar suara Tok ...jangan sentap kuat sangat kail tu, sentap sikit saja kata Tok, kawasan sawah padi yang dulunya banyak dengan ikan sekarang dah kurang, mungkin juga penggunaan jentera membajak menyebabkan ikan berkurang ataupun penggunaan racun yang agak kuat. Hanya Allah saja Maha Mengetahui........
Sumber Resepi : Tok
Masakan : Penulis Blog