Monday, September 30, 2013

Asam Pedas Keladi


Bahan

keladi dibuang kulit, direbus dengan asam keping sehingga lembut

Bahan untuk dimesin :-
3 ulas bawang merah
sedikit belacan
6 tangkai cili kering / boleh tambah kalau suka pedas

Lain-lain bahan yang diperlukan

1 batang serai diketuk
4 ekor ikan direbus dan ambil isinya
Asam keping secukupnya
sedikit kunyit
Garam secukupnyakeladi

Cara

1) Bahan-bahan yang telah dimesin dicampur dengan sedikit serbuk kunyit dan air kemudiannya direbus / dipanaskan
2) Masukkan serai, isi ikan dan asam keping
3) Masak biar mendidih
4) Akhir sekali masukkan keladi 


Sumber Resepi : Mak Cik
Masakan : Mak Cik


CORETAN

Di sebelah Utara tanahair, asam pedas rebus keladi ini memang terkenal, kalau di Selatan tanah air, asam pedas ditumis dengan minyak, pun sedap juga. Saya belajar memasak kedua-duanya sekali. Ada juga di antara asam pedas rebus, ikannya dimesin agak halus dan dimasukkan bersama keladi dan dimakan bersama nasi ulam. Sebut nasi ulam terasa pulak malam-malam buta ni nak makan...jom cari ulam!!!! 





Thursday, September 26, 2013

Bengkang / Bingka Tepung Beras


Bahan

3 cawan tepung beras
campuran santan (RM3.00) dan air pandan jadikan 6 cawan
3/4 cawan gula
1/2 tin susu pekat
2 biji telor
1 sudu besar planta
secubit garam

Cara

1) Gaul semua bahan dan panaskan sekejap sambil dikacau
2) Masukkan ke dalam loyang dan bakar sehingga masak- Mak Su menggunakan pemanggang 

Sumber Resepi : Mak Su
Masakan : Mak Su


CORETAN

Hari ini seperti yang dirancang kami ke rumah Mak Su di Sg. Petani. Kalau di sebelah utara disebut bengkang dan air kopi telah tersedia di atas meja. Perjalanan tidaklah jauh sangat , lebih kurang 2 jam, bila ternampak saja bengkang, tanpa berlengah lagi terus saya masukkan ke dalam mulut. Hemm!! sedap, ambil satu lagi masukkan ke dalam mulut, sedap memang sedap, dari satu dah jadi dua dan seterusnya hingga terlupa bertanya tuan rumah dah makan atau belum. Bila dah sedap mestilah nak tahu resepinya, Mak Su tidak kedekut ilmu , satu persatu bahan-bahan yang perlu untuk membuat bengkang ini saya catatkan dalam buku. Sepupu saya tidak perlu membuat sebarang catatan, dia ingat dalam kepala sahaja. Itu pun kejap tadi baru telefon dia, sebab saya catatkan gula sebanyak 3 1/4....macam tak betul saja...jadi saya telefon untuk pastikan jumlah sebenar, rupa-rupanya 3/4 cawan gula, mungkin telinga dah kurang pendengaran sebab usia dah makin meningkat, boleh kencing manis dibuatnya kalau sebanyak itu yang dimasukkan, lain yang diberitahu lain yang ditulis. Kalau saya sebagai reporter dah banyak kali kena saman. Akhir kata , ucapan terima kasih kepada Mak Su di atas resepi yang diberikan. 

Selamat Mencuba kepada semua yang sentiasa mengikuti blog saya walau dimana saja anda berada. 

Ikan Cencaru Bakar


Bahan

2 ekor ikan cencaru ( dibersih dan di belah belakang dan dilumur garam )
6 tangkai cili kering
1 ulas bawang besar
1 ulas bawang putih
1 sudu kecil rempah kari
Sedikit halia
Sedikit lengkuas
Garam dan gula secukupnya

Cara

1) semua bahan dimesin halus kecuali rempah kari, garam dan gula
2) Masukkan ke dalam mangkok
3) Masukkan rempah kari , gula dan garam secukupnya
4) Sumbat bahan ini ke dalam belakang ikan yang telah dibelah tadi
5) Bakar atau goreng terpulang pada anda, kami guna pemanggang ajaib yang dilenserkan dengan minyak






Tuesday, September 24, 2013

Ikan Sepat Masak Cili Padi


Bahan

Ikan sepat menua digaul dengan garam kunyit dan digoreng garing
1 ulas bawang putih
2 ulas bawang merah ( boleh juga gantikan dengan 1 labu bawang besar )
2 tangkai cili hidup
10 tangkai cili padi
1 sudu besar kicap manis
1 sudu besar sos tiram ( jika anda suka )
sedikit belacan
sedikit air perahan asam jawa
Gula dan garam secukupnya


Cara

1) Bawang, cili, belacan dimesin halus
2) Ditumis dan dimasukkan sedikit air
3) Masukkan sos tiram, kicap dan air perahan asam jawa
4 ) Gula dan garam secukupnya
5) Masak hingga kuah agak pekat dan tutup, biar sejuk sebelum dimasukkan ikan.

sekiranya anda menggunakan kicap manis, anda perlu kurangkan gula.


CORETAN 

Terkenang kisah zaman kanak-kanak dulu, masa duduk dengan Tok Cha dan Tok, saya ni suka sangat makan ikan darat, maklumlah dulu mana ada duit nak beli ikan laut, sumber ikan yang paling banyak ketika itu ikan daratlah, Tok Cha dengan Pak Cik memang suka sangat menjala ikan, segala ceruk kampung yang ada sungai dijalanya, saya dengan Tok menunggu dengan sabar dari pagi sampai petang sebabnya kami berdua akan menjadi mangsa menyiang ikan, tapi tak pa seronok bila Tok Cha buka saja bekas ikan, wah ikan sepat menua, lampam, sebesar tapak tangan, masih hidup dan segar, macam-macam jenis ikan darat mereka bawa pulang, paling saya suka ikan sepat menua dan ikan puyu. Tok Cha suka ikan sepat menua yang saiz comel-comel tu digoreng dengan tepung, meratah panas-panas, sedapnya. Ikan puyu dibuat masak asam pedas atau dibuat masak cabai (cili api)...fusssshhh bertambah-tambah nasi. Tok Cha juga pandai buat jala untuk dijual, pernah masa ketiadaan mereka saya mencuba jala yang ada , saya tebarkan atas rumput kononnya nak cuba menjala lepas tu saya cuba pula dalam sungai berdekatan rumah. Mula-mula itu banyak juga ikan yang saya dapat , beberapa kali tebar jala, bukan ikan saja yang dapat ular air pun terperangkap dalam jala. Apa lagi melompatlah saya, jala ke mana, ikan ke mana , orang nya lari lintang pukang, terpaksalah tunggu Tok Cha balik buang ular dari jala..  saya dengan ular ni geli sikit , selepas kejadian itu saya tak pernah menjala ikan lagi dah, pernah juga saya mengikut Tok Cha menjala ikan , saya akan bawa bekas ikan dan buang sampah-sampah pada jala, memang nostalgia tapi sekarang keadaan kampung yang dulunya dihuni puluhan dan beranika jenis ikan sudah tiada lagi, entah ke mana menghilang ikan-ikan tersebut, sungai sekarang dah bertambah elok cuma penghuninya pula tiada. Sedih......  Masa tinggal dengan Tok , tiap-tiap petang kami akan memancing dalam sawah padi berdekatan rumah...umpan cacing. Tak sampai 15 minit dah beberapa kali Tok asyik menyentap pancingnya yang dimakan ikan puyu...saya nak dapat seekor pun susah, mulalah tukar strategi, memancing bersebelahan dengan Tok dan pancing di lopak yang sama,, Tok pun beralah biarkan saja cucu mencuba nasib , sekali sentap  batang pancing sampai 360 darjah, ikan yang lekat pada mata kail terpelanting ke petak sebelah , melepas ikan...terdengar suara Tok ...jangan sentap kuat sangat kail tu,  sentap sikit saja kata Tok, kawasan sawah padi yang dulunya banyak dengan ikan sekarang dah kurang, mungkin juga penggunaan jentera membajak menyebabkan ikan berkurang ataupun penggunaan racun yang agak kuat. Hanya Allah saja Maha Mengetahui........ 

Sumber Resepi : Tok
Masakan : Penulis Blog

Monday, September 23, 2013

Terong Masak Cili Padi


Bahan

2 batang terong
sedikit ikan bilis digoreng garing
2 tangkai cili hidup
10 tangkai cili padi
sedikit belacan
2 ulas bawang merah
1 ulas bawang putih
sedikit perahan air asam jawa

Cara

1) Cili hidup, Cili padi, belacan, bawang merah, bawang putih ditumbuk halus / dimesin
2) Terong dipotong dan digoreng sehingga agak kuning
3) Tumis cili ( bahan no.1 ) dengan minyak
4) Masukkan sedikit air dan kacau
5) Masukkan garam gula secukupnya
6) Masukkan sedikit air perahan asam jawa
7) Anda juga boleh masukkan 1 sudu besar kicap manis sekiranya anda suka
8) Akhir sekali tutup api, biarkan sejuk sebelum memasukkan ikan bilis dan terong ke dalamnya.

Sumber Resepi : Tok
Masakan : Mak Cik

Friday, September 20, 2013

Ayam Goreng Berempah


Bahan

1 ekor ayam
Serbuk Cili
Daun Kari
Gula dan garam secukupnya

Bahan B

5 ulas bawang merah 
1 ulas bawang putih
2 batang serai
Halia dan lengkuas sebesar ibujari

Cara
Semua bahan B dimesin halus 
Gaul ayam dengan garam
Masukkan bahan yang dimesin , daun kari , serbuk dan gula ke dalam ayam tadi, digaul rata.
Perap ayam selama 2 jam
Kalau nak lebih sedap perap semalaman sebelum digoreng



Sumber Resepi : Toby ( sepupu lelaki )
Masakan : Mak Cik


CERITANYA

Resepi ini dari sepupu saya yang lelaki yang bekerja di Sabah, dia memang gemar memasak dan pandai memasak.

Wednesday, September 18, 2013

Apom Comel


Bahan

3 biji telor dari dalam peti sejuk
220 gram gula halus
250 gram tepung gandum
150 gram susu segar ( Dutch Lady )
3 sudu teh baking powder
1 sudu teh ovalette
Pewarna merah, hijau, kuning

Cara

1) Campurkan semua bahan kecuali pewarna
2) Putar dengan kelajuan maksima selama 6 - 8 minit ( sehingga kembang )
3) Bahagikan kepada 3 adunan dengan setiap satu diwarnakan dengan 3 pewarna tadi
4) Sudukan setap satu adunan berselang seli ke dalam cup kertas
5) Masukkan inti kegemaran anda. Untuk adunan yang dibuat oleh sepupu saya ini, beliau menggunakan coklat compaound yang dipotong dadu.
Sudukan semula ketiga-tiga adunan tadi untuk menutup coklat ( anggaran 3/4 penuh cup kertas )
6) Kukus selama lebih kurang 10- 15 minit


Sumber Resepi : Kak Cik
Masakan : Kak Cik




CERITANYA

Menurut sepupu saya, ini cubaan pertama beliau, tapi bila saya makan, rasanya  lembut dan sesuai dengan inti coklat cuma menurut beliau coklat yang beliau gunakan agak sedikit, jadi anda boleh potong coklat biar banyak / besar  atau masukkan inti blueberry/ strawberry dan sebagainya.



Tuesday, September 17, 2013

Cucur Manis


Bahan

2 cawan tepung gandum
1/4 sudu teh soda bikarbonat
3 sudu besar gula ( tambah atau kurangkan gula sekiranya anda suka)
2 ulas bawang merah diracik
Garam secukup rasa
sedikit serbuk kunyit

Cara

1) Masukkan soda bikarbonat dalam tepung dan digaul rata
2) Masukkan air dan bancuh jangan terlalu pekat, biar cair sikit supaya adunan tidak keras. Anda boleh cuba goreng dulu sedikit, jika adunan yang dimasukkan ke dalam minyak panas naik dan kembong , cucur anda lembut.
3)  Masukkan  gula , serbuk kunyit dan bawang dan kacau sebati. Biarkan seketika ( lebih kurang 15 minit ) sebelum digoreng dengan minyak yang panas.

CERITANYA

Kalau sebelah petang pastinya kami akan  sediakan kuih , paling simple dan mudah kalau dah tidak ada bahan untuk dimasak, cucur manis inilah pilihan terakhir. Dicicah pula dengan mayonaise dan sos cili, dengan minuman teh tarik atau kopi pekat, tak cukup sepinggan.   

Monday, September 16, 2013

Agar-Agar Lumut


Bahan


13 helaian daun pandan dimesin ( tapis 1 cawan  )
1 cawan santan pekat
3 cawan air untuk masak agar-agar
1 packet agar-agar ( 10 gm )
1/4 cawan gula pasir ( tambah jika anda suka manis )
secubit garam

Cara

1) Masak agar-agar dengan 3 cawan air
2) Masukkan gula
3) Masukkan 1 cawan air daun pandan yang telah ditapis tadi
4) Kacau hingga mendidih
5) Sementara itu kacau telur di dalam 1 cawan santan pekat 
6) Masukkan garam
7) Masukkan santan dengan telur ini ke dalam adunan agar-agar tdi dan buka api supaya menggelegak sambil dikacau sehingga santan nampak seperti berbintil-bintil dan tutup api.
8) Tuang kedalam loyang yang telah dibasah dengan air, biar sejuk sebelum dimasukkan ke dalam peti ais.


Sumber Resepi : Kak Cik ( sepupu )
Masakan : Kak Cik & Penulis Blog


CERITANYA

Assalamaualaikum semua, di harap anda semua sihat dan sedang berada di dapur untuk mencuba pelbagai resepi, kalau tak menjadi juga masakan pada hari ini, teruskan  mencuba dan terus mencuba, InsyaAllah dengan berkat kesungguhan yang anda tunjukkan  akan membuahkan hasil yang menakjubkan, siapa tahu kan!. Hari ini kami ke rumah Mak Cik Jah, sebab nak hantar kain untuk dijahit. Baju Raya Haji!!! Baju Raya Aidil Fitri saya baru nak buat walaupun dah 1 bulan berlalu , mereka dah berkira-kira buat baju untuk sambutan Raya Haji..bila sampai di Kampung Mak CiK Jah, mata saya mesti tidak lepas memandang keadaan sekitarnya yang dikelilingi sawah padi, manalah tau ada bahan untuk saya ambil gambar. Terpandang saya pada jantung pisang depan rumah Mak Cik Jah, lepas tu mulalah mereka-reka nak buat sambal apa untuk dimakan dengan jantung pisang. Saya teringin sangat nak makan sambal belimbing buluh, tapi belimbingnya mana nak cari, ??? Tiba-tiba saja Mak Cik Jah kata ada orang bagi dan masih ada dalam peti ais, maka saya dengan muka selambanya..minta sikit boleh. Mak Cik Jah bagi satu plastik ...rezeki rezeki...Lepas tu Mak Anjang sebelah rumah ajak kami ke rumah beliau ambil anak pokok pinang untuk di tanam di kampung. Pantang diajak, terus saya capai kamera...ini di antara gambar-gambar yang saya ambil


Hati-hati bermain dengan batang keladi tu....takut menjadi-jadi gatal kena airnya, bukankah nak ambil anak pokok pinang??? mananya??? Inilah dikatakan bagi betis nak peha...hahaha

Kegembiraan jelas terbayang di wajah masing-masing tapi siapa yang nak masak tu nanti..heheh..hari Isnin cuti 1 Malaysia , kami ada rancangan nak ke rumah Mak Su , boleh juga  masak lemak keladi ayam untuk makan tengahari di sana , pastinya makan tengahari begitu menyelerakan... 

Pada mulanya nak ambil anak pokok pinang saja tapi bila nampak pokok keladi, buah amra (buah kedondong), buah belinjai maka semuanya dirembat, terpaksalah Mak Anjang melayan kerenah kami, pokok keladi putih dan keladi udang (airnya warna merah ), sedap kalau buat asam pedas atau pun masak lemak cili api dengan ayam, eh nostalgia lagi, arwah tok suka sangat masakan ini dan saya pula lebih suka keladinya daripada ayam... Buah belinjai ni  dah lama tak makan sejak arwah Tok Cha dulu, dia suka sangat buah belinjai ni makan dengan santan pekat campur gula. Rasanya masam2 manis tapi bila dah disatukan dengan santan, rasa lemak manis , sedap bagi mereka yang suka...mulalah teringat kembali zaman kanak-kanak dulu, nostalgia lagi.....





Beginilah rupanya buah tu, kulit keras, coklat keperangan warna isinya tapi bila kami belah, isinya dah busuk , jadi tak dapatlah nak merasa kelazatan buahnya, daripada santan yang saya parut tadi membazir begitu saja kami pun  buat agar-agar lumut.


Ini adalah aksi-aksi spontan yang sempat saya ambil , Mak Cik Jah dengan Mak Anjang sedang menjolok buah amra untuk di makan dengan garam belacan. 


Menurut Mak Anjang, pokok ini adalah Tuba Barah / Barah Tuba , tak pasti namanya yang sebenar, daunnya dijadikan bahan untuk mengubati penyakit barah. 

Setelah selesai kerja-kerja mengutip, menebang, mengangkut semua buah dan batang keladi dan anak pokok pinang kami minta diri untuk pulang sebab jam dah hampir pukul 12.30 tengahari. Terimakasih MakCik Jah dan Mak Anjang, lain kali kami datang lagi ya.

Sambal Buah Binjai




Caranya


Mudah saja, dapatkan buah binjai ini
3 tangkai cili besar
10 tangkai cili padi ( kalau suka pedas boeh tambah )
sedikit belacan
Garam dan gula secukup rasa



CELOTEH

Sambal buah binjai ini adalah kegemaran turun temurun dari masa arwah Datuk dan Tok saya lagi cuma buah ini agak sukar didapati sekarang. Itupun baru-baru ini ada jual kat Nat Kebun Getah, mula-mula tu saya macam bingong tak bingong tapi bila Mak Cik kata kakak takkan tak ingat kakak pun suka makan....saya pun iya ke??? Bila saya sendiri yang buat dan makan, dan pada ketika ia masuk saja ke mulut...aduhhh dengan tiba-tiba terkenang semasa dulu ketika arwah Tok Cha (Datuk) masa hayatnya , memang gemar sangat dengan sambal terutama sekali sambal buah binjai ni dan apa yang Tok Cha ( panggilan untuk Datuk Lelaki) dan Tok ( panggilan untuk yang perempuan ) makan, saya tumpang makan. Nostalgia sungguh sambal ini...terasa sedikit masam manis , masin , pedas dan lembut serta harum buahnya membuatkan saya terpaksa berebut-rebut dengan sepupu-sepupu untuk mendapatkan bahagian masing-masing. Untuk pengetahuan semua, kami memang menggemari sambal, tanpa sambal bagaikan tiada tenaga untuk menghabiskan nasi yang dijamah. sambal oh sambal keranamu, saya makan banyak, kerana mu, berebut-rebut kami sekeluarga, kerana mu juga nostalgia bersama Tok Cha dan Tok menjelma kembali. 



Sumber Resepi : Tok
Masakan : Penulis Blog

Friday, September 13, 2013

Pajeri Terong



Bahan- Bahan

1 packet rempah kari daging
Halia sebesar ibujari ( dihiris halus secara memanjang )
3 ulas bawang putih ( ditumbuk )
2 ulas bawang merah ( ditumbuk )
Bawang yang ditumbuk ini digaul dengan rempah kari
3 sudu besar kerisek dicampur dengan rempah kari tadi dan dimasukkan sedikit air panas dan sedikit santan pekat serta digaul sebati
5 biji Terong saiz sederhana
1 mangkok santan 
Garam dan gula secukup rasa
sedikit perahan air asam jawa


Bahan untuk menumis (A)

Kulit kayu manis ( 1 batang )
Bunga Lawang
Bunga Cengkeh
1 ulas bawang putih ( dimayang )
2 ulas bawang merah ( dimayang )

Caranya

1) Tumis bahan (A) sehingga kekuningan
2) Masukkan rempah kari yang telah digaul sebati tadi
3) Kacau hingga pecah minyak / sehingga rempah betul-betul masak
4) Masukkan santan dan biar mendidih
5) Masukkan terong
6) Masukkan gula, garam dan perahan air asam jawa
5) Biar mendidih / masak


CELOTEH

Terlebih dahulu saya pohon ampun dan maaf kerana dah lama tak update blog. Maklum saja dah nak masuk hujung tahun ni kerja makin bertambah-tambah, nasib baik berat  badan tak bertambah, kalau dah masak mesti nak makan tapi kesihatan kena jaga, makan sikit biar lauk keliling pinggan, sebelah malam saya amalkan minum susu dan roti. Semalam saya hanya makan mee goreng mamak, petangnya saya lupa plak beli beras nak makan dengan pekasam ikan sepat yang telah dibuat oleh Mak Nun, bila dah sampai rumah baru perasan beras dah habis, hujan dah makin lebat kat luar, sejuk mula mengancam dan angin mula menikam-nikam seluruh tubuh..hehehe...eh macam nak buat novel pulak ceritanya, ,,,hemm apa nak makan ni??? selongkar punya selongkar dalam peti ais, ada baki mee ...tapi nak makan pekasam mesti dengan nasi panas-panas...kat luar hujan dah menggila lebat aduuuh bahasa....tak pa kita goreng 3 ekor ikan pekasam sepat menua dulu, goreng baki mee yang tak sampai semanggkok...lepas tu tunggu hujan berhenti baru beli beras. Tunggu punya tunggu hujan tak juga berhenti...bau pekasam sudah sampai ke hidung dan telah menular sehingga ke seluruh tubuh ...jadi saya buat keputusan makan mee goreng dengan pekasam, baru makan seekor...sedaplah pulak, dengan kerangupannya dan bau harum membuatkan saya goreng 4 ekor lagi pekasam ikan sepat menua tu. Akhir cerita saya kenyang dengan menu baru Mee Goreng Ikan Pekasam....


Sumber Resepi : Mak Cik
Masakan : Mak Cik





Wednesday, September 4, 2013

Ayam Masak Mamak



Bahan-bahan

Bahan A
1 labu bawang besar
6 ulas bawang putih
2 cm halia / ( sebesar ibujari )
2 cm lengkuas
3 batang serai

Ayam / Daging ( diperap 5 minit dengan cuka campur air ) sebelum dibasuh bersih
1 paket serbuk kari Babas ( bancuh dengan sedikit air )
2 tangkai daun kari ( ambil daun saja )
3 sudu besar kicap pekat manis(saya guna kicap Tamim)
sedikit perahan air asam jawa
garam dan gula secukup rasa

cara

1) Semua bahan A diblend halus
2)Tumis bahan A dengan sedikit minyak sehingga bau wangi / masak
3)Masukkan kari yang digaul sebati dengan sedikit air tadi, bersama daun kari, kacau hingga pecah minyak (sehingga masak)
4)Masukkan kicap dan sedikit perahan asam jawa
5) Masukkan ayam
6) Boleh tambah air sekiranya terlalu pekat
7) Garam dan gula secukup rasa
8) Biar mendidih / sehingga ayam masak , kalau anda suka kuah pekat biar mendidih lama sikit.

CELOTEH

Nak tahu macamana saya dapat resepi ni...pada satu hari ....alkisahnya saya makan di sebuah kantin, tak banyak lauk sebab terlalu awal , so saya ambil ikan bakar dan minuman milo panas. Itu saja ...terfikir juga kalau tak ada kuah tak sedap. jadi saya ambil kuah kari ayam satu sudu besar. Baru suap semulut kuah ayam tu...hemmm...sedaplah pulak...lantas saya bangun dan menceduk 5 sudu besar kuah kari ayam tadi..lepas makan saya pun dengan suara yang agak kuat bertanya...Minta maaf dik, siapa masak ayam tu, sedaplah, pekerja-pekerja di kantin tu menjawab tanya lah pengusaha kantin. Saya pun memberanikan diri bertanya sebab bukan mudah nak dapat resepi yang betul, kadang-kadang tu mereka bagi tapi tak sepenuhnya. Bila masak ,tertanya-tanya ,,,kenapa tak macam yang kita makan. Alhamdulillah, dengan rasa rendah diri dan gembiranya beliau berkongsi resepi dengan saya. Mula-mula tu saya buat-buat teka...kak masuk santan ke? Kak masuk kerisik ke? Sedap sangat,..memuji ehem...ehem. Esok tu terus saya beli bahan dan masak di rumah Mak Cik, kebetulan Mak Cik buat ketupat dia habis puasa 6, kena sangatlah dengan kari ayam tu. Saya beli setengah saja ayam takut buat tak jadi membazir cuma kari ayam yang saya masak di atas tu tak begitu hitam (kalau nak hitam anda boleh guna kicap pekat manis - ikut citarasa anda ) dan terlebih perahan air asam. Maklumlah cubaan pertama, bagaimanapun ramai juri-juri pada hari tu terdiri dari cousin2 saya, so banyak dapat feedback kata sedap. Mereka kata kalau makan dengan nasi beriani, nasi tomato, nasi minyak ni boleh terangkat.....Saya hanya tersenyum sambil terangkat angkat..hehehe. Terima kasih banyak kak          

Kepada anda semua Selamat Mencuba....menu yang agak sihat sebab tidak menggunakan santan. Kalau masak dengan daging kak tu pesan potong besar tapi agak nipis. InsyaAllah kak saya akan cuba.

Sumber : Kak Nor
Masakan : Penulis Blog











Tuesday, September 3, 2013

Selamat Hari Raya

Assalamualaikum,


well...I am back home...tired and exhausted ..but so happy after celebrating Hari Raya with families and friends. Thank you to everyone you keep supporting and continuing reading my blog. I might be needing extra powerful energy to start writing and taking pictures again soon..i hope

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan 'Selamat Hari Raya Aidil Fitri' kepada seluruh umat islam di mana saja anda berada dan saya memohon kemaafan kepada semua yang mengenali dan bagi yang sentiasa mengikuti perkembangan blog saya walaupun saya tidak mengenali siapa anda, terimakasih dan pohon ampun dan maaf kerana sudah lama tidak mengemaskini blog. Saya mendoakan kesejahteraan dan kesihatan anda sekeluarga semoga anda sentiasa ceria dan meneruskan kehidupan yang singkat ini dengan baik dan sentiasa mendekatkan diri pada Allah. Manusia yang merasakan dirinya baik dalam sekelip mata boleh berubah menjadi jahil dan begitulah sebaliknya. Oleh itu apa yang penting adakah anda mahu berubah kepada kebaikan dan meninggalkan kejahatan, Tanya diri anda!! kalau ya, InsyaAllah, anda pasti berjaya melakukannya. Cuba! dan terus mencuba! Bagaimana sambutan Hari Raya anda?? Sudah 4 tahun saya berhari raya nun jauh di Selatan tanahair, dan setiap tahun kami akan berkumpul dan juadah...ya pastinya juadah dari utara dan selatan digabung mesra...







Selamat Hari Raya semua..maaf zahir batin, ingatkan dah save semua gambar dalam external hardisk...rupa-rupanya ini jer yang ada..yang lain tertinggal ..